by Oh! Semput
Polis kini giat menjejaki seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam siri perbuatan khianat memecahkan skrin mesin ATM di beberapa cawangan bank sekitar Jinjang, Kuala Lumpur. Tindakan vandalisme yang berlaku sejak 16 Februari itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 skrin ATM rosak, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM64,000.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Basri Sagoni, kejadian pertama dikesan oleh juruteknik bank ketika melakukan penyelenggaraan, apabila empat skrin mesin ATM di sebuah bank di Jinjang Selatan ditemui retak. Sehari selepas itu, polis menerima empat lagi laporan melibatkan dua insiden di cawangan bank di Jinjang Selatan serta dua lagi di Jinjang Utara.
Siasatan awal menunjukkan modus operandi suspek ialah memasuki ruang kaunter bank sebelum memecahkan skrin ATM menggunakan objek dipercayai batu, lalu melarikan diri. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam suspek yang digambarkan sebagai lelaki berkulit cerah, berketinggian lebih kurang 165 sentimeter, berbadan sederhana, memakai kemeja kelabu, seluar panjang, selipar hitam, serta topi keledar biru. Suspek turut dilihat menaiki motosikal Honda Wave berwarna biru.
Polis menegaskan tiada unsur cubaan samun atau kecurian wang dalam insiden ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek atau kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222 atau melapor ke mana-mana balai polis berhampiran.
Lelaki Pecah 12 Skrin ATM di Jinjang Diburu Polis #1 The News Malaysia.