by Oh! Semput
Dua lelaki dilaporkan maut selepas kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Besar Felda Jengka 12, Maran, malam tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu, mangsa difahamkan sedang dalam perjalanan dari arah Jengka 13 menuju Bandar Pusat Jengka sebelum kenderaan dinaiki terbabas ke bahu jalan lalu merempuh tiang elektrik dengan kuat.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Mohamad Arif Danial Ramli, 23, berasal dari Felda Jengka 22 serta Mohamad Ali Mohamed Saat, 31, dari Felda Jengka 11.
Keadaan kereta dilaporkan mengalami kerosakan teruk terutama di bahagian hadapan akibat impak rempuhan yang kuat. Pasukan penyelamat dan polis turut dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mengeluarkan mangsa serta mengawal keadaan di tempat kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut termasuk proses bedah siasat.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu gagal mengawal kenderaan ketika melalui laluan terbabit, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dua Lelaki Maut Kereta Terbabas Rempuh Tiang Elektrik Di Felda Jengka 12 first appeared on #1 The News Malaysia.