by Oh! Semput
Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyatakan sokongan penuh terhadap rang undang-undang pindaan enakmen negeri yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini bagi membolehkan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyatakan langkah tersebut disifatkan sebagai reformasi institusi yang mampu memperkukuh sistem demokrasi dan tadbir urus negeri ke arah lebih berkesan serta berpandangan jauh.

Mereka berpandangan landskap pentadbiran semasa memerlukan pengukuhan dari segi kapasiti, keupayaan serta kedalaman perbahasan di dalam dewan.
Pelantikan ADUN lantikan yang terdiri daripada individu berpengalaman dan pelbagai latar belakang dilihat mampu menambah nilai kepada proses penggubalan dasar serta memperkasa fungsi semak dan imbang dalam sidang DUN.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO Johor turut yakin Kerajaan Negeri Johor komited memastikan setiap pembaharuan dilaksanakan berteraskan prinsip akauntabiliti, keterangkuman dan kepentingan rakyat.
Mereka menegaskan kewujudan lima ADUN lantikan itu dijangka menyumbang kepada proses keputusan yang lebih matang, seimbang dan berwawasan, selain memperkukuh keberkesanan fungsi DUN Johor dalam mendepani cabaran semasa.

Langkah tersebut disifatkan sebagai pembaharuan tepat pada masanya bagi membina Dewan Negeri Johor yang lebih kukuh, progresif dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat serta pengukuhan sistem demokrasi negeri.