by Oh! Semput
Umat Islam diingatkan supaya menangguhkan perjalanan ke kawasan berisiko di Asia Barat sehingga keadaan keselamatan kembali stabil, susulan ketegangan konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran.
Memetik perkongsian di laman web rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Muftinya, Ahmad Fauwaz Fadzil menyatakan langkah itu selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs) apabila keselamatan tidak terjamin.
Menurutnya, setiap keputusan pihak berkuasa perlu berpaksikan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat, dan sekiranya perjalanan ke Tanah Suci selamat, ibadah umrah atau haji boleh diteruskan seperti biasa.

Dalam pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan umat Islam supaya sentiasa merujuk maklumat rasmi daripada pihak berautoriti, khususnya Kementerian Luar, yang bertanggungjawab memantau keselamatan antarabangsa dan mengeluarkan nasihat perjalanan.
Ahmad Fauwaz menjelaskan bahawa penilaian semula terhadap syarat istita’ah, termasuk jaminan keselamatan nyawa dan harta benda, kini menjadi keperluan mendesak.

Artikel lain: Konflik Asia Barat: Umat Islam diseru baca Qunut Nazilah, Solat Hajat demi keamanan- Menteri Agama
Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan sementara rancangan menunaikan umrah berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu.
Kerajaan telah memulakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara Asia Barat bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang konflik yang masih berlanjutan.