by Oh! Semput
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap konflik di Asia Barat susulan serangan Israel ke atas Iran yang berpotensi memberi kesan kepada bekalan makanan, baja serta harga minyak dan gas di Malaysia.
Menerusi siaran langsung Perutusan Khas Perdana Menteri, beliau menyatakan sekatan di Selat Hormuz serta gangguan bekalan tenaga global memberi tekanan langsung kepada ekonomi negara walaupun Malaysia masih berada dalam keadaan stabil hasil keupayaan Petronas.
Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten menentang kezaliman serta pencerobohan oleh Israel dan Amerika Syarikat, sambil menyifatkan konflik semakin meruncing susulan tindak balas Iran yang memberi kesan kepada rantau tersebut.
Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, Anwar berkata Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Iran, Presiden Mesir, Presiden Turkiye serta Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

Walau bagaimanapun, usaha damai masih berdepan cabaran apabila Iran berpendirian mereka telah berulang kali dikhianati dan memerlukan jaminan keselamatan yang kukuh.
Pada masa sama, beliau memaklumkan Malaysia kini sedang dalam proses membawa pulang kapal minyak serta rakyat negara ini dengan kerjasama pihak Iran, selain mengambil pendekatan menyeluruh bagi menjamin bekalan dan mengurus permintaan secara lebih berhemah.