by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Keadilan Negeri Pahang, Sridayu Samsuri, menerima pengiktirafan bermakna apabila diundang sebagai panelis dalam Forum Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Parlimen yang berlangsung di Bangunan Parlimen baru-baru ini.
Forum bertajuk “Wanita Sebagai Institusi - Peluang Dan Cabaran” itu menghimpunkan tokoh-tokoh wanita nasional dan aktivis komuniti bagi membincangkan peranan wanita dalam membentuk dasar negara.
Bagi Sridayu, peluang itu bukan sekadar pengalaman, tetapi pengiktirafan terhadap kerja akar umbi yang dibawa selama ini.
"Ini pengalaman yang sangat berharga. Bukan hanya kerana lokasinya di jantung landskap dasar negara, tetapi kerana dapat berdiskusi tentang tema yang dekat di hati saya – memperkasakan pembangunan wanita di akar umbi," katanya.
Sridayu berkongsi pentas bersama dua Ahli Parlimen yang lantang memperjuangkan suara wanita iaitu mantan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto, dan Ahli Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi.
Turut serta ialah rakan-rakan solusi daripada APPGM-SDG yang disegani, Buvaneswary Balasubramaniam dan Juddy Lasius.
Menurut Sridayu, pertemuan dengan semua pimpinan APPGM-SDG dan rakan solusi menjadi suntikan semangat baharu buat beliau.
"Kami berkongsi cerita, cabaran dan harapan yang sama dalam membawa perubahan dari akar umbi," ujarnya.
Sebagai Pengerusi NGO Persatuan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK), Sridayu menegaskan bahawa wanita bukan sekadar individu dalam masyarakat tetapi institusi.
"Wanita adalah institusi yang membentuk nilai, membina keluarga, dan menggerakkan komuniti. Apabila wanita diperkasa, sebenarnya kita sedang memperkukuh asas masyarakat dan masa depan negara," tegasnya.
Perbincangan forum itu turut menyentuh keperluan mengangkat suara wanita akar umbi ke peringkat dasar dengan tujuan memastikan pengalaman sebenar di lapangan tidak terpisah daripada proses membuat keputusan.
Justeru, Sridayu merakamkan penghargaan kepada APPGM-SDG kerana membuka ruang dan platform untuk beliau terus berkembang dalam ekosistem advokasi dan pembangunan komuniti.
"Saya berterima kasih atas ruang dan kepercayaan ini. Saya berharap lebih banyak platform seperti ini dibuka supaya wanita bukan sahaja didengar, tetapi turut menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan," katanya lagi. #SuaraKeadilan