by Oh! Semput
Kerajaan sedang meneliti semula cadangan penyasaran subsidi petrol RON95 yang ketika ini turut dinikmati golongan T20, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik laporan daripada Harian Metro, Perdana Menteri menyatakan, perkara itu kini dibincangkan secara terperinci oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara sejak sebulan lalu.

Cadangan semakan itu turut mendapat perhatian selepas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini mencadangkan agar subsidi bersasar dilaksanakan secara lebih menyeluruh termasuk menilai semula pemberian kepada golongan berpendapatan tinggi.
Beliau berpendapat subsidi lebih wajar disalurkan kepada B40 dan M40 yang lebih terkesan dengan kos sara hidup serta sebagai langkah memperkukuh kedudukan ekonomi negara dalam ketidaktentuan global.

Cadangan itu antara 25 resolusi dibangkitkan dalam Rundingan Meja Bulat Nasional 2.0 yang memberi tumpuan kepada isu kedaulatan ekonomi negara.
Ketika ini, semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 tanpa mengira kategori pendapatan.
: Harian Metro (Zanariah Abd Mutalib)