Komitmen kerajaan dalam mengangkat martabat seni mempertahankan diri menerima suntikan baharu apabila peruntukan khas berjumlah RM2 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menyokong pembangunan seni bela diri tanah air. Pertubuhan Lima Generasi Malaysia selaku peneraju projek tersebut menyifatkan langkah itu sebagai titik tolak penting dalam usaha memperkukuh warisan tempur negara ke tahap lebih tinggi.
Peruntukan besar ini bukan sekadar tanda kepercayaan kerajaan terhadap seni silat dan seni bela diri tempatan, malah mengiktirafnya sebagai warisan bangsa yang menjadi komponen penting pembinaan jati diri, disiplin, patriotisme dan kekuatan pertahanan ketiga negara. Pertubuhan berkenaan memberi jaminan bahawa dana tersebut akan digunakan secara berfokus untuk melahirkan atlet berkualiti, memperkemas latihan jurulatih, menaik taraf kemudahan latihan, serta memperluas promosi ke peringkat serantau dan antarabangsa.
Pengasas merangkap Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, Datuk Abdullah Ghani Kassim, menegaskan bahawa dana berkenaan menjadi pemangkin kepada usaha pembaharuan yang lebih sistematik dan profesional. Menurut beliau, fasa pembangunan akan merangkumi penambahbaikan gelanggang, penyediaan peralatan moden, serta laluan pembangunan atlet yang lebih terancang bagi melahirkan pesilat dan atlet tempur bertaraf dunia.
Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang berlangsung di Seremban menjadi manifestasi awal kepada pelaksanaan inisiatif ini. Majlis tersebut lahir daripada Himpunan Pendekar sempena Hari Malaysia dan direalisasikan melalui dana khas Perdana Menteri, sebagai penghargaan terhadap sumbangan penggiat seni bela diri negara.
Dalam majlis itu, kerajaan turut mengiktiraf tokoh-tokoh dan pertubuhan silat melalui beberapa kategori anugerah. Enam pertubuhan menerima Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih dengan insentif RM70,000 setiap satu bagi tujuan pembangunan. Selain itu, lima tokoh menerima Anugerah Jasa Silat atas pengabdian mereka mengangkat nama negara di peringkat dunia.
Tiga atlet Muay Thai negara – Johan Ghazali, Aliff Rakib dan Rifdean Masdoor menerima Anugerah Ikon Tempur Anak Muda, manakala enam atlet negara yang meraih pingat emas Sukan SEA turut menerima penghargaan melalui Anugerah Emas Sukan SEA.
Usaha memperkukuh tenaga kejurulatihan turut diberi tumpuan apabila tiga jurulatih silat negara menerima insentif RM5,000 setiap seorang sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka. Manakala Anugerah Duta Silat disampaikan kepada pelakon Eman Manan, Ebby Yus dan Beto Kusyairi, yang selama ini mempopularkan silat melalui seni dan media.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, menegaskan hasrat kerajaan untuk memperluas pengenalan seni persilatan dalam sistem pendidikan negara, termasuk usaha menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum. Langkah ini selari dengan matlamat membentuk generasi muda yang berakhlak, berdisiplin dan bangga dengan warisan sendiri.
Majlis Apresiasi Pendekar Negara ini dianggap sebagai fasa pertama daripada pelan jangka panjang kerajaan dan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia dalam memperkukuh seni bela diri tanah air. Dengan dukungan kerajaan serta sokongan pemegang taruh, seni persilatan diyakini akan terus berkembang sebagai warisan negara yang kekal relevan dari generasi ke generasi.
