by Oh! Semput
KUANTAN: Kerajaan Pusat digesa tampil memberi penjelasan berhubung perjanjian pembekalan unsur nadir bumi (REE) antara syarikat Lynas dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) yang dikatakan boleh memberi implikasi kepada polisi negara berkecuali.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kebimbangan itu timbul selepas Lynas Australia mendedahkan kepada Bursa Saham Australia mengenai perjanjian pembekalan oksida REE kepada Pentagon selama empat tahun bernilai AS$96 juta.
Menurutnya, pendedahan dibuat pada 16 Mac lalu itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang Malaysia dilihat cenderung kepada kuasa besar tertentu.
“Dalam senario pertembungan antara Amerika Syarikat dan China ketika ini, tindakan berkaitan REE oleh Lynas dilihat boleh membawa persepsi bahawa negara kita cenderung kepada satu pihak, khususnya Amerika Syarikat dan ini menimbulkan kebimbangan.
“Kita meminta kerajaan Malaysia mendedahkan secara terperinci kandungan perjanjian tersebut memandangkan maklumat awal didedahkan terlebih dahulu oleh pihak Australia.
“Kita mahu tahu apakah implikasi perjanjian itu kepada negara, termasuk dari sudut bekalan untuk tempoh empat tahun serta kaitannya dengan operasi Lynas di Gebeng, Kuantan yang memproses unsur nadir bumi (REE),” katanya dalam sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini, semalam.
Menurut beliau, kira-kira 57 NGO tempatan dilaporkan membantah perjanjian tersebut kerana dikhuatiri bahan REE berkenaan digunakan bagi tujuan ketenteraan.
Katanya, kerajaan perlu menjelaskan sejauh mana kawalan terhadap operasi dan urus niaga syarikat terbabit supaya tidak menimbulkan polemik dalam kalangan rakyat.
“REE kini menjadi sumber strategik dunia apabila tumpuan global mula beralih daripada sektor minyak dan gas kepada mineral nadir bumi.
“Kita bimbang sekiranya perkara ini tidak dijelaskan, ia akan menimbulkan polemik dalam kalangan rakyat mengenai sejauh mana kawalan kerajaan terhadap syarikat Lynas dan urus niaganya.
“Kerajaan perlu bertindak dengan lebih jelas supaya Malaysia terus dilihat berada di atas paksi berkecuali dan tidak condong kepada mana-mana pihak dalam situasi geopolitik semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan meneliti semula pembekalan REE kepada Pentagon susulan konflik berterusan di Timur Tengah.
“Kita tahu isu yang berlaku di Timur Tengah bagaimana sikap Amerika menyerang Iran dan menyokong Israel dalam usaha pengeboman ke atas umat Islam di Gaza yang masih belum berhenti. Jadi kita harapkan ini perlu dihentikan segera.
“Kalau pun berlaku kita minta kerajaan perlu menamatkan pembekalan bahan REE ini kepada Pentagon kerana kita bimbang dia akan digunakan untuk membunuh umat Islam yang sedang berlaku di Iran dan Palestin,” katanya. #Harakahdaily