by Oh! Semput
Kerajaan memandang serius insiden kemalangan di platform minyak Sepat di perairan Terengganu-Kelantan yang mengorbankan tiga pekerja kontraktor semalam.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain memastikan aspek keselamatan pekerjaan terus diperkukuhkan.
Menurut beliau, kerajaan akan memberi perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan pekerja khususnya dalam sektor berisiko tinggi seperti industri minyak dan gas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan mangsa yang masih menerima rawatan agar diberikan kesembuhan segera.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam, empat pekerja dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat di platform tersebut untuk menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah pelantar minyak.
Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang menampung bot berkenaan dipercayai tercabut sebelum kesemua mangsa terjatuh ke laut bersama bot terbabit.
Tiga pekerja disahkan maut dalam kejadian itu iaitu Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, serta Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, masing-masing dari Pahang.
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Selangor dilaporkan cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Sementara itu, Petronas mengesahkan insiden tersebut melibatkan pekerja kontraktornya dan memaklumkan siasatan dalaman sedang dijalankan bersama pihak berkuasa berkaitan.
Kejadian itu sekali lagi menimbulkan perhatian terhadap tahap keselamatan dalam industri minyak dan gas luar pesisir yang sememangnya berisiko tinggi serta memerlukan prosedur operasi dan penyelenggaraan yang ketat bagi melindungi pekerja.
Kerajaan Pandang Serius Insiden Maut Pekerja Pelantar Minyak – PM Anwar first appeared on #1 The News Malaysia.