by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang menyampaikan bantuan RM750 kepada bakal jemaah haji terdiri jemaah perantau serta petugas kebajikan dan kesihatan yang mengiringi jemaah terbabit.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri sebelum ini meluluskan peruntukkan RM2 juta bagi menyalurkan bantuan wang saku kepada 1,680 bakal jemaah haji dari negeri itu sebagai inisiatif khas untuk meringankan beban kewangan mereka sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M.
Selain sumbangan tunai, jemaah turut dibekalkan juadah makmur serta buku Panduan Doa Arafah dan Ziarah Rasulullah Siri II untuk kegunaan sepanjang berada di Tanah Suci.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad menerusi hantaran di laman Facebook, berkata agihan bantuan itu adalah satu lagi bukti komitmen kerajaan negeri di bawah kepemimpinan sedia ada yang sentiasa serius dalam memartabatkan syiar Islam serta menjunjung kebajikan umatnya.
Beliau menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai manifestasi keseriusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya tetamu Allah, sentiasa menjadi keutamaan.
"Kerajaan Pahang adalah satu-satunya negeri yang berjaya melaksanakan program bantuan sedemikian secara konsisten seperti mana yang diumumkan dalam pembentangan bajet negeri yang lalu," katanya.
Beliau turut menyatakan rasa bangga melihat kesungguhan kerajaan negeri yang sedaya upaya memberikan sokongan terbaik buat jemaah haji dari pelbagai latar belakang usia dan daerah di seluruh negeri.
Bagi musim haji kali ini, statistik menunjukkan jemaah paling berusia dari Pahang adalah Zainah Dollah, 87, dari Temerloh dan Othman Basir, 81, dari Bandar Tun Abdul Razak Jengka, manakala bagi kategori paling muda pula membabitkan Nurain Azlin Nazly Abdullah, 16, dan Fatih Mohd Faizal, 18, yang kedua-duanya di bawah seliaan Tabung Haji Kuantan.
Penerbangan pertama jemaah haji negeri ini dijadualkan berlepas pada 19 April depan, manakala penerbangan terakhir dijadualkan pada 20 Mei.
Syed Ibrahim dalam hantaran sama turut mendoakan semua jemaah sentiasa berada di bawah payung inayah Allah SWT sepanjang perjalanan pergi dan balik serta beroleh haji yang mabrur dan amalan yang makbul. #BeritaHarian