Kerajaan Negeri Pahang Menilai Pelbagai Pilihan Pengangkutan Termasuk Model Pengangkutan Udara, Tingkatkan Aksesibiliti Ke Pulau Tioman

by Oh! Semput


4
SHARES
53
VIEWS
Posted on 14 May 2026 10:01:58

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang menilai pelbagai pilihan pengangkutan termasuk model pengangkutan udara bagi meningkatkan aksesibiliti ke Pulau Tioman sekali gus membantu merancakkan kembali kedatangan pelancong ke pulau peranginan itu.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, pihaknya sentiasa terbuka meneroka semula peluang kerjasama strategik termasuk mewujudkan semula Memorandum Persefahaman (MoU) dengan mana-mana syarikat penerbangan yang berpotensi mengendalikan laluan ke Pulau Tioman.

Menurutnya, pelaksanaan perkhidmatan penerbangan ke Pulau Tioman bagaimanapun tertakluk kepada aspek teknikal dan keselamatan penerbangan di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Berdasarkan maklum balas rasmi CAAM pada Disember tahun lalu, hasil penilaian teknikal terhadap cadangan pengubahan jajaran landasan Padang Terbang Pulau Tioman mendapati bahawa cadangan itu tidak memenuhi keperluan piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung usaha kerajaan mewujudkan kembali akses udara ke Pulau Tioman yang dikemukakan Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Yu Man berkata, penilaian dijalankan mengambil kira aspek perkhidmatan navigasi udara, piawaian aerodrom serta operasi penerbangan.

“Bagaimanapun, hasil penilaian itu mendapati wujud kekangan utama termasuk faktor halangan semula jadi di sekitar kawasan padang terbang, topografi berbukit dan tanah tinggi yang menjejaskan permukaan had halangan.

“Justeru, cadangan pengubahan jajaran landasan itu tidak dapat menyelesaikan isu asas berkaitan keselamatan operasi penerbangan di Pulau Tioman,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, CAAM mengesyorkan supaya cadangan tersebut dikaji semula secara menyeluruh bagi memastikan sebarang pembangunan atau penaiktarafan landasan mematuhi sepenuhnya peraturan serta piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha memperkukuh akses ke pulau peranginan popular itu melalui penambahbaikan perkhidmatan feri, pengukuhan kemudahan jeti serta pendekatan ‘multi-modal connectivity’ bagi memudahkan pergerakan pelancong ke Pulau Tioman.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan usaha meningkatkan kedatangan pelancong ke Pulau Tioman dapat dilaksanakan secara mampan, praktikal dan selamat tanpa menjejaskan pematuhan kepada piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan,” ujarnya. #SinarHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts