Kerajaan Negeri Melalui PLANMalaysia Pahang Akan Menyediakan Garis Panduan Perancangan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI)

by Oh! Semput


7
SHARES
89
VIEWS
Posted on 13 May 2026 16:32:02

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pahang (PLANMalaysia Pahang) menyediakan Garis Panduan Perancangan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Negeri Pahang sebagai rujukan dalam merancang, mengawal dan memantau pembangunan serta kemudahan berkaitan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perancangan tapak kawasan RIBI perlu mengambil kira garis panduan tersebut, antaranya tidak dibenarkan dibangunkan di kawasan rezab hutan, rezab sungai, rezab utiliti (termasuk laluan kabel bervoltan tinggi) dan kawasan rezab kemudahan awam lain.

Menurutnya, RIBI juga tidak digalakkan dibangunkan bersebelahan dengan loji kumbahan dan pencawang elektrik.

"Kedudukan RIBI di kawasan pusat kejiranan dan berdekatan dengan kediaman penganut sesuatu agama perlu sekurang-kurangnya 100 meter daripada kediaman majoriti penganut agama tersebut serta 300 meter daripada tempat keagamaan berlainan agama dengan ketinggian satu tingkat atau maksimum lima meter.

"Berdasarkan Garis Panduan RIBI Negeri Pahang, pembangunan premis keagamaan bukan Islam di kawasan bukit dan tanah tinggi juga tertakluk kepada keperluan serta piawaian di dalam Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung garis panduan dan dasar kerajaan negeri dalam menguruskan pembinaan rumah ibadat yang dikemukakan Mohd Fadzli Mohd Ramli (ADUN Lantikan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Mohd Fakhruddin berkata, bagi memastikan pembangunan RIBI lebih terancang, penguatkuasaan berterusan oleh agensi berkaitan perlu dilaksanakan, antaranya memantau pertumbuhan tempat-tempat keagamaan di atas tanah kerajaan atau tanah milik persendirian.

Menurutnya, tindakan perlu diambil sekiranya pembinaan bangunan tempat keagamaan melanggar syarat tanah, perancangan dan bangunan.

"Selain itu, tempat-tempat pemujaan yang didirikan untuk kegunaan peribadi hanya dibenarkan di dalam kawasan hartanah persendirian dengan saiz yang tidak terlalu menonjol.

"Tempat-tempat pemujaan, keramat atau 'shrine' sementara yang dibina di tapak projek pembinaan hendaklah dirobohkan mengikut tatacara agama masing-masing sebaik sahaja projek pembinaan disiapkan," katanya.

Sementara itu, menurutnya, konflik yang membabitkan RIBI serta urusan pemindahan atau perobohan tempat keagamaan bukan Islam sedia ada perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam untuk tujuan perundingan bagi mengelakkan sebarang permasalahan yang tidak diingini.

Bagaimanapun, katanya, pengurusan RIBI di Pahang sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. #SinarHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts