by Oh! Semput
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyifatkan tindakan kerajaan terdahulu meluluskan pembangunan di kawasan kolam takungan banjir sehingga kapasiti berkurang kepada kira-kira 30 peratus sebagai keputusan yang memberi risiko besar kepada keselamatan rakyat di Kuala Lumpur.
Memetik laporan daripada Harian Metro, beliau mengataakn keadaan itu menyebabkan ibu negara kini kehilangan sekitar 70 peratus kawasan tadahan air sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat setiap kali hujan lebat berlaku.
Hannah menambah, rakyat di Kuala Lumpur kini terpaksa berdepan situasi tidak menentu kerana kekurangan kawasan simpanan air dan tanah alternatif bagi mengurangkan impak bencana.

Mengulas lanjut, beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap kelulusan terdahulu yang menurutnya tidak mengambil kira realiti risiko banjir di ibu negara.

Beliau turut merujuk kepada keputusan pihak berkuasa sebelum ini yang tidak meneruskan tindakan lanjut berhubung penukaran status tanah kolam takungan banjir selepas siasatan dijalankan pada 2022.