Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Rampas 14,870 Liter Diesel Tanpa Permit Di Tapak Binaan

by Oh! Semput


8
SHARES
108
VIEWS
Posted on 15 Apr 2026 20:02:01

KUANTAN: Kegiatan penyimpanan barang kawalan tanpa permit berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang dengan merampas 14,870 liter minyak diesel dalam satu serbuan di sebuah tapak pembinaan di Mukim Penor di sini Isnin lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Pahang, Md Zaki Abd Samad berkata, siasatan awal mendapati bahan api tersebut dipercayai digunakan bagi operasi jentera pembinaan.

Menurutnya serbuan menerusi operasi Ops Tiris 4.0 itu dilakukan hasil maklumat awam sebelum pasukan penguat kuasa mengesan sebuah skid tank yang digunakan untuk menyimpan diesel dalam kuantiti besar.

“Bagaimanapun, pihak syarikat gagal mengemukakan permit penyimpanan yang sah bagi lokasi berkenaan walaupun mempunyai permit di lokasi lain.

“Sehubungan itu, kita telah menyita minyak diesel bersama peralatan berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntuk hukuman berat terhadap kesalahan melibatkan penyelewengan barang kawalan.

Menurutnya, bagi syarikat, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

“Individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM1 satu juta atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya dalam kenyataan.

Manakala bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM3,000,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, KPDN Pahang memberi amaran keras kepada semua pihak agar mematuhi sepenuhnya syarat permit dan lesen serta tidak menyalahgunakan subsidi kerajaan.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil selaras dengan pelaksanaan inisiatif KITA GEMPUR dalam membanteras ketirisan barang kawalan di pasaran.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan melalui saluran aduan rasmi KPDN bagi membantu penguatkuasaan lebih berkesan. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts