by Oh! Semput
Kira-kira 50,000 lepasan tahfiz dan pondok persendirian dijangka mendapat manfaat susulan keputusan kerajaan membuka laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar daripada aliran pendidikan di luar sistem pendidikan kebangsaan.
Memetik laporan daripada Bernama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menyatakan, keputusan Kabinet itu melibatkan lepasan sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC).
Menurut beliau, walaupun sebelum ini terdapat lepasan tahfiz yang melanjutkan pengajian ke IPTA melalui peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), keputusan terbaru itu menjadi penambahan paling signifikan khususnya kepada pelajar aliran agama.

Dalam pada itu, Adam Adli berharap keputusan Kabinet tersebut tidak dipolemikkan dan meminta semua pihak memberi ruang untuk perbincangan lebih terbuka.

Beliau turut memaklumkan pelbagai isu dibangkitkan mahasiswa dalam Program Tesis Zon Utara termasuk kebajikan, akademik, laluan kerjaya dan cabaran ekonomi yang memberi kesan kepada penuntut institusi pengajian tinggi.
: Bernama