by Oh! Semput
Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meninggalkan parti itu selepas menang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Memetik laporan daripada Bernama, tindakan undang-undang tersebut difailkan oleh Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh bagi pihak parti melalui firma guaman Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi pada 19 dan 27 Februari lalu.
PKR menuntut ganti rugi RM10 juta daripada setiap individu terbabit, menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan sebanyak RM160 juta.

Antara yang dinamakan sebagai defendan ialah Baru Bian, Kamarudin Jaffar, Mansor Othman, Mohd Rashid Hasnon, Saifuddin Abdullah dan R. Santhara Kumar.
Turut dinamakan ialah Abdul Yunus Jamhari, Azman Nasrudin, Afif Bahardin, Chong Fat Full, Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim.

Dalam pernyataan tuntutan, PKR mendakwa setiap defendan telah bersetuju dengan syarat bon yang mewajibkan mereka membayar RM10 juta kepada parti sekiranya berlaku keadaan tertentu termasuk meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
PKR turut memaklumkan bahawa pada 11 Mac 2020 parti telah memutuskan untuk menamatkan keahlian semua defendan serta-merta dan sijil bertarikh 16 Mac 2020 dikeluarkan bagi mengesahkan perkara tersebut.

Artikel lain: Keyakinan rakyat terhadap PKR terbukti, keahlian tambah hampir 5,000
Sehubungan itu, PKR menuntut setiap defendan membayar bon RM10 juta selain kos, faedah serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pengurusan kes bagi kedua-dua saman berkenaan dijadualkan berlangsung pada 17 dan 27 Mac ini di Mahkamah Tinggi.