by Oh! Semput
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keberanian peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berjaya membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan kekejaman yang berlaku ketika ini.
Menurut beliau dalam hantaran di media sosial, tanggapan bahawa suara rakyat tidak mampu membawa perubahan adalah tidak tepat kerana tekanan masyarakat dunia kini semakin jelas terhadap isu kemanusiaan berkenaan.
Terdahulu, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir memuat naik video mengejek kira-kira 430 peserta Global Sumud Flotilla yang ditahan di perairan antarabangsa dalam keadaan tangan diikat di belakang dan berada dalam posisi seperti bersujud.
Tindakan tersebut mencetuskan kecaman pelbagai pihak termasuk daripada komuniti antarabangsa sehingga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan memberi teguran keras terhadap provokasi itu.

Menurut Syed Saddiq, sukarelawan yang ditahan bukan sahaja diikat dan dipaksa tunduk, malah dihina seolah-olah nyawa dan maruah manusia langsung tidak mempunyai nilai.

Beliau menyatakan, Perdana Menteri Kanada menganggap tindakan itu sebagai sesuatu yang sangat keji manakala Perdana Menteri Itali pula menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima sama sekali.
Ujarnya lagi, Menteri Luar United Kingdom turut mengakui terkejut dan marah dengan tindakan tersebut, selain mendakwa lebih memalukan apabila Perdana Menteri Israel sendiri dilihat cuba menjauhkan diri daripada tindakan Ben-Gvir.
Syed Saddiq turut menegaskan perkembangan itu membuktikan bahawa suara rakyat dan tekanan masyarakat dunia mampu memberi kesan besar terhadap isu kemanusiaan sejagat.
: Facebook Syed Saddiq