by Oh! Semput

TANJUNG MALIM: Karnival Motorsports Bandar Belia 1Malaysia (1MYC) adalah satu daripada usaha bagi menggalak dan membangunkan sukan bermotor dalam kalangan belia di negara ini.
Tambahan pula, Tanjung Malim sudah diumumkan sebagai Bandar Belia pertama di negara ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada September lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II merangkap Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bukan sahaja mampu melahirkan pelumba dalam sukan bermotor, tetapi juga jurutera dalam industri automobil.
Berucap merasmikan karnival berkenaan di Tasek Embayu, Proton City, hari ini, beliau berkata bidang automobil pesat membangun di negara ini dan memerlukan tenaga kerja mahir.
Menerusi karnival berkenaan, sebanyak 16 aktiviti membabitkan belia dijalankan bermula Oktober lalu dengan kerjasama KBS, Majlis Belia Malaysia (MBM) serta agensi kerajaan.
“Perancangan menjadikan Tanjung Malim pusat industri automobil terbesar di negara ini dijangka mampu mewujudkan pelbagai peluang ekonomi terutama kepada golongan belia. Mereka seharusnya mengambil peluang ini,” katanya.
Katanya, pelaksanaan Bandar Belia bertumpu kepada aktiviti, aspirasi, perumahan dan peluang pekerjaan.
Category: Semasa