by Oh! Semput
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) mengakui berlaku kesilapan tidak disengajakan melibatkan pemberian kad pemantauan pesakit denggi berbahasa Cina kepada penjaga seorang pesakit kanak-kanak di sebuah klinik kesihatan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, insiden tersebut berlaku pada 18 Mei 2026 ketika pesakit hadir mendapatkan rawatan susulan kes disyaki demam denggi.
JKWPKL&P menjelaskan bahawa penggunaan rekod rasmi pemantauan pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan adalah menggunakan Bahasa Melayu. Namun begitu, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa lain sebagai langkah sokongan komunikasi bagi membantu pesakit dan penjaga memahami proses rawatan dengan lebih jelas.
Katanya, dalam kejadian berkenaan, berlaku kesilapan apabila kad pemantauan dalam bahasa yang tidak sepatutnya diberikan kepada penjaga pesakit terbabit.
Walaupun begitu, pihak jabatan menegaskan bahawa segala penerangan berkaitan rawatan, pemantauan kesihatan serta nasihat perubatan tetap disampaikan dalam Bahasa Melayu oleh petugas kesihatan yang bertanggungjawab.
Susulan isu tersebut tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai, pihak JKWPKL&P memaklumkan bahawa beberapa langkah penambahbaikan segera telah diambil bagi mengelakkan kekeliruan sama berulang pada masa akan datang.
Dalam masa sama, jabatan itu turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan kekal mematuhi penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, di samping mengambil kira keperluan komunikasi masyarakat berbilang kaum di negara ini.
JKWPKL&P Akui Berlaku Kesilapan Pemberian Kad Denggi Bahasa Cina first appeared on #1 The News Malaysia.