Jabatan Perikanan Pahang Keluarkan Notis Larangan Tangkapan Ikan Temelian Di Semua Sungai Negeri Ini Selama Tiga Bulan

by Oh! Semput


5
SHARES
70
VIEWS
Posted on 10 Feb 2026 13:31:52

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang mengeluarkan notis larangan tangkapan ikan temelian (probarbus jullieni) di semua sungai negeri ini selama tiga bulan bermula bulan ini.

Pengarahnya, Roslan Abu Hasan berkata, larangan berkenaan dikeluarkan berikutan musim ikan terbabit bertelur dan akan berada kawasan air cetek secara berpasangan.

Katanya, temelian boleh mencapai berat 25 hingga 40 kilogram (kg) kini semakin berkurangan dan tidak mustahil menghadapi risiko kepupusan jika tangkapannya tidak dikawal terutama pada musim bertelur.

"Sifat ikan temelian akan ke kawasan lubuk dan air cetek untuk bertelur secara berpasangan memudahkan nelayan darat menangkapnya hanya menggunakan jaring hanyut.

"Kita memantau beberapa kawasan di Sungai Pahang, Sungai Tembeling dan Sungai Jelai bagi memastikan tidak ada individu melakukan aktiviti menangkap ikan temelian selama tiga bulan.

"Kegiatan menangkap ikan temelian yang banyak terdapat di tiga sungai terbabit akan berleluasa setiap kali tiba musim bertelur, permintaan menggalakkan dengan harga antara RM50 hingga RM70 sekilogram merancakkan lagi aktiviti memburu ikan berkenaan," katanya, dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Roslan, mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang, individu yang menangkap ikan temelian dalam tempoh larangan (Februari-April) boleh dikenakan kompaun hingga RM5,000 dan peralatan menangkap ikan mereka dirampas.

"Saya berharap mereka yang tinggal berhampiran sungai termasuk nelayan sungai dan pemancing yang mengetahui kegiatan menangkap ikan temelian bermula bulan ini hingga April depan, boleh menghubungi pihaknya pada bila-bila masa untuk tindakan menahan mereka terbabit.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dianggap degil dan tidak menghormati undang-undang, hanya tindakan undang-undang sahaja mampu mengajar mereka," katanya.

Sementara itu, Roslan menambah pihaknya akan terus mengadakan program kesedaran spesies ikan asing dan baung ekor merah di beberapa daerah seperti Pekan, Temerloh, Lipis dan Jerantut. Program itu penting dalam usaha mengawal pembiakan ikan berkenaan.

"Jabatan memandang serius ancaman baung ekor merah yang kini terdapat di hampir semua sungai utama di negeri ini, penguatkuasaan dilakukan secara berterusan dalam memastikan spesies ikan asing tidak terus membiak di sungai utama di Pahang.

"Sempena program itu diadakan pertandingan memancing ikan baung ekor merah, hadiah ikan terberat dan ikan terbanyak disediakan pihak penganjur," katanya.#HarianMetro

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts