Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nafi Video Tular Di Media Sosial, Berlaku Aktiviti Pembalakan Haram Di Bentong

by Oh! Semput


7
SHARES
92
VIEWS
Posted on 12 Mar 2026 20:02:07


KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menafikan berlaku aktiviti pembalakan haram di kawasan Bentong susulan sebuah video tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan, JPNP berkata, aktiviti penebangan pokok yang dipaparkan dalam video berkenaan dijalankan di atas tanah berstatus hak milik persendirian yang terletak di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

“Sebagai makluman, kawasan berkenaanmerangkumi lima lot tanah hak milik yang telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa bagi tujuan pembangunan projek pertanian.

“Projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan dan pengurusan tanah yang memberi manfaat kepada pemilik tanah serta pembangunan sektor pertanian setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kerja-kerja penebangan pokok di lokasi terbabit adalah sebahagian daripada proses penyediaan tapak bagi projek yang telah diluluskan secara sah, dan bukan aktiviti pembalakan haram seperti yang ditularkan.

Justeru, JPNP menegaskan bahawa pihaknya sentiasa komited memastikan sebarang aktiviti pembangunan dan guna tanah dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa, di samping memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara.

“JPNP dan Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kelestarian pengurusan hutan serta persepsi masyarakat terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar di negeri ini,” jelasnya.

Pihak JPNP turut mengalu-alukan maklumat rasmi daripada orang awam dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang tertakluk di bawah akta dan enakmen perhutanan di negeri ini. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts