by Oh! Semput
KUANTAN: Jabatan Mufti Negeri Pahang memandang serius penyebaran satu dokumen tular di media sosial yang didakwa sebagai surat rasmi berkaitan penetapan waktu solat sunat Aidilfitri negeri itu.
Jabatan berkenaan memaklumkan bahawa untuk makluman orang ramai, dokumen tersebut adalah palsu dan bukan dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Sehubungan dengan itu, katanya ,orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta sentiasa merujuk kepada pengumuman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang atau pihak berkuasa agama negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
"Pihak Jabatan Mufti Negeri Pahang juga tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya penyebaran dokumen palsu ini berterusan.
"Kerjasama semua pihak dalam mengekang penyebaran berita palsu amatlah dihargai," katanya menerusi kenyataan rasmi jabatan itu hari ini.
Terdahulu, tular penyebaran dokumen di media sosial yang didakwa sebagai surat rasmi berkaitan penetapan waktu solat sunat Aidilfitri negeri itu pada jam 8.45 pagi, 20 Mac ini. #BeritaHarian