Insiden Hujan Lebat Selama Kira-Kira Dua Jam Mengakibatkan Kejadian Banjir Kilat Berlaku Di Taman Habu Height, Cameron Highlands

by Oh! Semput


8
SHARES
109
VIEWS
Posted on 21 Apr 2026 16:31:56

CAMERON HIGHLANDS: Hujan lebat selama kira-kira dua jam mengakibatkan kejadian banjir kilat di Taman Habu Height di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 2.30 petang sebelum pasukan polis dari Balai Polis Ringlet digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati aliran air bercampur lumpur dari kawasan Habu Height telah melimpah ke jalan utama susulan hujan lebat bermula kira-kira jam 2 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun polis menerima dua laporan membabitkan kerosakan kenderaan akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pasukan polis yang tiba sekitar jam 3 petang menjalankan pemantauan dan kawalan keselamatan bagi memastikan keadaan terkawal.

Azri menambah, operasi turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Roadcare yang melaksanakan kerja pembersihan di lokasi terjejas.

“Keadaan kembali normal selepas hujan berhenti sekitar jam 4 petang dan kerja pembersihan selesai dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Azri mengingatkan orang ramai supaya berwaspada ketika hujan lebat serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan kejadian banjir lumpur yang berlaku di Cameron Highlands susulan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan aliran air berlumpur berwarna coklat seperti ‘teh tarik’ yang deras menenggelamkan sepenuhnya laluan utama kenderaan.

Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @farah.ilyanaa, rakaman tersebut turut memperlihatkan beberapa kenderaan tidak dapat melalui laluan berkenaan berikutan arus deras dan paras air yang tinggi. #SinarHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts