by Oh! Semput
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menolak kemungkinan untuk menyalurkan bantuan tambahan kepada pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli susulan kejayaannya meraih podium dalam perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello, Ahad lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihak kementerian sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai bentuk sokongan terbaik yang boleh diberikan kepada pelumba berusia 17 tahun itu, namun perlu mengambil kira komitmen kewangan terhadap program sukan lain yang telah dirancang.
Menurut beliau, fokus utama KBS ketika ini kekal kepada pembangunan bakat di peringkat akar umbi menerusi pelbagai program termasuk Impian ke MotoGP yang dilaksanakan bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Kita sentiasa menyokong semua jenis sukan di Malaysia dan fokus utama adalah pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
“Yang paling penting ialah bagaimana kita membina atlet-atlet baharu sebelum mereka berkembang menjadi atlet elit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara JBSN dengan Foodpanda Malaysia, Grab Malaysia dan Gamuda Land di Menara KBS, hari ini.
Dalam sukan permotoran, beliau menjelaskan kerajaan sudah lama melaksanakan program pembangunan termasuk MotoGP di peringkat akar umbi selain menyediakan dana menerusi program Impian ke MotoGP.
Tambahnya, KBS dan SIC terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan permotoran negara menerusi pelbagai bentuk bantuan kewangan.
“Bagi tahun ini, kerajaan menyalurkan RM800,000 menerusi Geran Padanan Sukan, manakala SIC turut menyumbang RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM1.8 juta bagi pembangunan sukan berkenaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa dana Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KAWASAN) tahun ini telah diperuntukkan lebih awal dengan memberi keutamaan kepada persiapan menghadapi temasya besar seperti Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Sea 2027.
“Setakat ini, kita sentiasa terbuka kepada perbincangan mengenai penyaluran dana. Perbincangan itu memang berjalan kerana kita perlu melihat keutamaan dana KAWASAN dan beberapa temasya besar yang perlu diberikan perhatian,” katanya.

Tambah beliau, KBS akan terus berusaha memberikan sokongan dan dorongan bukan sahaja kepada Hakim Danish, tetapi juga kepada atlet lain yang berpotensi mengharumkan nama negara.
“Apa yang pasti, KBS akan cuba sedaya upaya memberikan sokongan, dokongan dan dorongan bukan sahaja kepada Hakim Danish, tetapi juga kepada atlet-atlet lain yang mempunyai potensi besar untuk mengharumkan nama negara,”ujar beliau.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk penaja yang memainkan peranan penting membantu perjalanan karier atlet di pentas antarabangsa.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Hakim Danish. Kita harap lebih ramai lagi atlet sepertinya dapat dilahirkan menerusi program pembangunan yang dilaksanakan oleh KBS dan SIC pada masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini KBS mengesahkan tiada peruntukan khusus kepada pelumba berusia 17 tahun itu selepas beliau kini beraksi dalam saingan Moto3, selain mengambil kira kos tinggi dalam sukan permotoran.
: Harian Metro (Amirul Fazli Zulkafli)