Genting Malaysia Berhad (Genting) Laksanakan Inisiatif Sekolah Angkat Madani (SAM), Dua Buah Sekolah Di Pahang Terima Manfaat

by Oh! Semput


13
SHARES
170
VIEWS
Posted on 20 Apr 2026 13:31:57

KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Berhad (Genting) terus memperkukuh komitmen dalam pembangunan pendidikan negara menerusi pelaksanaan Inisiatif Sekolah Angkat Madani (SAM) yang melibatkan dua buah sekolah di Pahang.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Bentong dan majlis penyerahan rasmi berlangsung di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kemahal pada 16 April lalu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa dan disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh selaku tetamu kehormat.

Dua sekolah yang menerima manfaat ialah Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kemahal dan Sekolah Menengah Kebangsaan LKTP Kampung Sertik melibatkan pelbagai penambahbaikan infrastruktur, kemudahan pembelajaran serta sokongan teknologi.

Di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kemahal, antara kerja naik taraf dilaksanakan termasuk pembaikan makmal komputer dan sains, pemasangan peralatan digital seperti projektor dan internet, selain penambahbaikan kemudahan dewan serta bilik darjah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan LKTP Kampung Sertik turut menerima penaiktarafan dewan utama melibatkan pemasangan jubin baharu, pendawaian semula serta kemudahan audiovisual, selain penambahbaikan bilik katering sekolah.

Ahmad Zamri berkata, inisiatif tersebut mencerminkan kerjasama strategik antara sektor korporat dan pendidikan dalam meningkatkan kualiti kemudahan sekolah serta persekitaran pembelajaran.

“Pendekatan menyeluruh seperti ini bukan sahaja menambah baik infrastruktur fizikal, malah membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih progresif untuk guru dan murid,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, setiap inisiatif dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar sekolah melalui sesi libat urus bersama pihak pengurusan.

Katanya, pendekatan tersebut memastikan bantuan yang diberikan lebih relevan serta memberi impak jangka panjang kepada komuniti pendidikan setempat.

Selain Pahang, inisiatif sama turut dilaksanakan oleh Genting Plantations Bhd di Johor dan Sabah, termasuk penubuhan pusat produksi video serta kerja naik taraf kemudahan sekolah bagi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selamat dan kondusif.

Usaha berterusan itu dilihat mampu menyumbang kepada pembentukan generasi masa depan yang lebih berilmu, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran global. #MalaysiaGazette


http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts