Fuziah Salleh Mendakwa Lebih Daripada 200 Permohonan Diterima Untuk Membuka Kedai MADANI Mart Di Seluruh Negara Setakat ini

by Oh! Semput


5
SHARES
71
VIEWS
Posted on 22 May 2026 06:32:16

KUANTAN: Lebih 200 permohonan diterima Yayasan MADANI untuk membuka kedai MADANI Mart di seluruh negara setakat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh yang juga Pengerusi Yayasan MADANI berkata, permohonan itu diterima daripada pelbagai pihak melalui platform dalam talian dan secara fizikal untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem Madani Mart.

"Setakat ini, lebih 20 pengusaha melepasi saringan awal dan sedang melalui proses pembangunan secara berperingkat, tertakluk kepada kesesuaian lokasi, kesiapsiagaan operasi dan pematuhan kepada standard Madani Mart.

"Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, dua lagi outlet MADANI Mart dijangka dibuka pada Jun depan, masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura, Pahang dan Kuala Lumpur, sekali gus menandakan permulaan peluasan jaringan MADANI Mart ke kawasan Lembah Klang," katanya.

Fuziah berkata demikian selepas merasmikan MADANI Mart cawangan Jalan Datuk Wong Ah Jang, di sini hari ini, bagi DUN Teruntum.

MADANI Mart di DUN Teruntum adalah cawangan kedua selepas pembukaan outlet pertama di DUN Semambu, di sini yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 April lalu.

Fuziah berkata, pembukaan outlet kedua itu adalah perkembangan positif inisiatif Madani Mart yang dibangunkan melalui model kerjasama strategik membabitkan kerajaan, sektor swasta dan elemen sosial melalui Yayasan MADANI tanpa pembiayaan dana kerajaan.

Katanya, setiap outlet MADANI Mart dikendalikan secara individu oleh operator masing-masing.

"Yayasan Madani berperanan sebagai pemudah cara ekosistem melalui penyelarasan model operasi, latihan, standardisasi, pembangunan rantaian bekalan dan sistem sokongan bagi membantu meningkatkan daya saing pengusaha tempatan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata, selaras dengan maklum balas pasaran dan minat tinggi daripada pengusaha kedai runcit sedia ada, Yayasan Madani sedang memperincikan satu model baharu yang lebih fleksibel dikenali sebagai MADANI Mart Express.

Katanya, model itu bertujuan membuka ruang kepada lebih ramai pengusaha kecil tempatan serta kedai runcit komuniti untuk menyertai ekosistem MADANI Mart melalui pendekatan yang lebih praktikal dan inklusif, tanpa mengabaikan aspek standardisasi, pematuhan operasi serta penawaran harga rahmah kepada rakyat.

"Yayasan MADANI kekal komited untuk memperluaskan capaian manfaat Madani Mart secara strategik dan mampan, supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati akses kepada barangan keperluan pada harga yang berpatutan," katanya. #BeritaHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts