by Oh! Semput
KUANTAN: Semangat muhibah dan nilai kebajikan terus diperkasakan di Pahang menerusi Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Korban 1447H/2026 bagi Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan yang berlangsung di Masjid Tengku Abdullah Al Haj, Kampung Chengal Lempong, hari ini.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, program tahunan itu merupakan manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh semangat gotong-royong serta penghayatan ibadah korban dalam kalangan masyarakat.
Pada majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan penyerahan sumbangan lembu korban kepada masjid dan Surau Kebenaran Jumaat (SKJ) di seluruh Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan, termasuk agensi kerajaan, badan penguat kuasa, pasukan keselamatan serta pertubuhan komuniti di seluruh negeri Pahang.
Menurutnya, majlis tersebut turut menjadi platform bagi mempererat hubungan antara kepimpinan dan masyarakat, di samping menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan serta semangat saling membantu.
Beliau berharap usaha berkenaan dapat menyemarakkan semangat perpaduan dan pengorbanan demi kesejahteraan rakyat serta membawa keberkatan kepada semua pihak yang terlibat.#BeritaRTM