by Oh! Semput
TNG Digital kini memperkenalkan antara muka baharu aplikasi TNG eWallet yang memberi tumpuan kepada akses lebih pantas kepada pelbagai perkhidmatan dalam ekosistemnya.
Kemas kini yang dilancarkan secara berperingkat bermula hari ini memberi fokus kepada perubahan pada halaman utama aplikasi. Antara muka baharu ini dibina dengan pendekatan “search-first“, membolehkan pengguna mencari dan mengakses fungsi yang diperlukan tanpa perlu melakukan navigasi terlalu banyak menu.
Antara perubahan utama ialah pengenalan empat hab utama pada bahagian akses pantas halaman utama. Hab tersebut merangkumi GOfinance untuk perkhidmatan kewangan, Near Me bagi mencari tawaran makanan dan minuman berdekatan, Bills untuk pembayaran bil serta utiliti, dan Transport untuk urusan perjalanan dan pengangkutan.

Bar navigasi di bahagian bawah aplikasi turut disusun semula dengan lebih ringkas berdasarkan ciri yang paling kerap digunakan. TNG Digital berkata susun atur baharu itu direka untuk memudahkan penggunaan dengan satu tangan, khususnya ketika pengguna sedang bergerak.

Menurut TNG Digital, perubahan ini dibuat selari dengan cara penggunaan TNG eWallet yang semakin berkembang daripada sekadar aplikasi pembayaran kepada platform yang turut merangkumi perkhidmatan kewangan, ganjaran, perjalanan dan gaya hidup.
Ketika ini, TNG eWallet mempunyai lebih 26 juta pengguna yang disahkan, manakala sekitar 13.5 juta pengguna aktif menggunakan aplikasi itu setiap bulan. Syarikat itu turut mendedahkan bahawa buat pertama kali, perniagaan selain pembayaran kini menyumbang lebih separuh daripada jumlah pendapatannya.
TNG Digital menyatakan antara muka baharu ini hanyalah permulaan kepada beberapa lagi penambahbaikan yang akan diperkenalkan pada masa akan datang bagi menjadikan pengalaman penggunaan aplikasi lebih mudah dan tersusun.
{suggest}
TNG eWallet Kini Berwajah Baharu – Lebih Kemas, Mudah Diakses WISER.MY.