Empat Suspek Samun Ditahan, Polis Nafi Berlaku Tembakan Di Dataran Nilai

by Oh! Semput


4
SHARES
54
VIEWS
Posted on 24 May 2026 08:01:35

Polis menegaskan tiada kejadian tembakan berlaku berhampiran Dataran Nilai malam tadi seperti yang tular di media sosial, sebaliknya situasi tersebut merupakan operasi tangkapan terhadap sekumpulan suspek kes samun dan ragut.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, operasi dijalankan sekitar jam 10 malam selepas pihak polis mengesan pergerakan suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah di Johor.

Menurut beliau, empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 22 hingga 28 tahun berjaya ditahan dalam operasi tersebut, termasuk dua suspek yang mempunyai hubungan adik-beradik.

Katanya, ketika operasi dijalankan, suspek dipercayai cuba melarikan diri sehingga berlaku sedikit pergelutan sebelum kesemua mereka berjaya diberkas polis.

Rakaman kejadian yang tersebar di media sosial sebelum ini memaparkan beberapa anggota polis mengepung sebuah kenderaan di kawasan Dataran Nilai sehingga mencetuskan dakwaan kononnya berlaku insiden tembakan.

Bagaimanapun, polis mengesahkan tiada sebarang tembakan dilepaskan sepanjang operasi dan keadaan berjaya dikawal tanpa melibatkan kecederaan kepada orang awam.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas dua buah kenderaan termasuk sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan ketika melakukan kegiatan samun dan ragut di Sagil, Tangkak, Johor.

Selain itu, beberapa unit telefon bimbit dan barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes jenayah turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan berkaitan samun sehingga mendatangkan kecederaan.

Polis dalam masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berkaitan video tular tersebut kerana ia boleh mencetuskan kegusaran dan panik dalam kalangan masyarakat.

Empat Suspek Samun Ditahan, Polis Nafi Berlaku Tembakan Di Dataran Nilai first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts