by Oh! Semput
LEE CHONG WEI menerima trofi Pemain Terbaik Dunia daripada Timbalan Presiden BWF, Gustavo Salazar di Dubai, kelmarin.KUALA LUMPUR – Walaupun telah memenangi pelbagai pengiktirafan sepanjang kariernya, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan anugerah Pemain Lelaki Terbaik Dunia 2016 yang diraih di Dubai kelmarin adalah yang paling istimewa.
Chong Wei menerima anugerah itu daripada Timbalan Presiden BWF, Gustavo Salazar dalam Majlis Makan Malam Gala di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hasil daripada aksi cemerlangnya sepanjang musim ini, demikian menurut Twitter rasmi BWF: @bwfmedia.
Jaguh No. 1 dunia itu berkata, 2016 adalah tahun paling memenatkan, menguji kekuatan mental dan fizikal serta amat mencabar.
Semuanya disebabkan isu doping yang menimpa pada 2014, yang menyebabkan dia digantung lapan bulan dan terpaksa bekerja keras untuk memperbaiki ranking dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.
Selepas digantung pada November 2014, Chong Wei jatuh ke-ranking 180 dunia. Dia terpaksa berhempas pulas untuk memperbaiki kedudukan apabila kembali ke gelanggang pada Mei tahun lalu, sebelum berjaya membuat penampilan keempat di Olimpik.
Beliau mengetepikan beberapa calon termasuk pasangan negara yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, juara Olimpik, Chen Long, beregu China, Fu Haifeng-Zhang Nan dan Jan O Jorgensen dari Denmark.
Sepanjang 2016, Chong Wei memenangi kejuaraan Siri Super di Malaysia, Indonesia dan Jepun serta pingat perak Olimpik ketiganya setelah berjaya mengetepikan seteru utamanya dari China, Lin Dan pada separuh akhir, namun gagal untuk meraih emas Olimpik buat kali pertama selepas kalah kepada Chen Long.
“Walaupun ini kemenangan kelima saya, tetapi anugerah kali ini sangat istimewa kerana bagi saya 2016 adalah tahun paling memenatkan.
“Selepas kes doping yang menyebabkan saya digantung lapan bulan dan jatuh teruk dalam ranking, saya terpaksa mengejar mata habis-habisan untuk layak ke Sukan Olimpik.
“Semua kerja keras dan pengorbanan berbaloi apabila menerima pengiktirafan seperti ini.
“Ya, saya menamatkan 2016 dengan sedikit kekecewaan selepas gagal meraih emas, namun memikirkan tentang kepayahan yang dihadapi, saya gembira berjaya mencapai tahap sekarang,” katanya, yang turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan barisan jurulatih negara.
Sementara itu, pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei dipilih menerima Anugerah Pakaian Terbaik Wanita pada majlis makan malam tersebut manakala Axelsen pula memenangi kategori lelaki.
Bekas juara wanita remaja dunia, Goh Jin Wei yang dicalonkan dalam Anugerah Eddy Choong untuk Pemain Paling Berbakat, gagal menandingi pemain China, Chen Qingchen yang dipilih sebagai pemenang.
Pasangan beregu wanita Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Pemain Wanita Terbaik manakala Pusarla V Sindhu dari India menerima Anugerah Pemain Paling Meningkat.
Bagi kategori badminton para, Lucas Mazur (Perancis) dan Karin Suter-Erath (Switzerland) dinamakan Pemain Para Terbaik, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita. –