by Oh! Semput
Malaysia sememangnya sedang bergerak ke hadapan dengan meneroka penyelesaian alternatif bagi memenuhi keperluan pertahanan negara susulan pembatalan pembekalan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM), namun perkara itu tidak bermakna isu itu boleh dianggap selesai tanpa sebarang akauntabiliti.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia tetap mempunyai hak untuk menuntut pampasan yang sewajarnya daripada Norway dan syarikat yang terlibat memandangkan sejumlah besar wang rakyat telah diperuntukkan bagi program tersebut.

Foto arkib: FB Khaled Nordin
Menurut beliau, sekiranya Norway memaklumkan lebih awal mengenai pembatalan lesen eksport berkenaan, dana yang telah diperuntukkan boleh digunakan bagi tujuan lain yang lebih bermanfaat.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai respons terhadap artikel New Straits Times bertajuk ‘Move on from missile deal and find replacement’ yang diterbitkan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kesan pembatalan tersebut bukan sekadar melibatkan kerugian kewangan, malah turut menyebabkan negara kehilangan masa serta peluang yang amat bernilai dalam perancangan pertahanan.
Menurutnya, mencari pengganti kepada sistem NSM bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat kerana ia melibatkan proses mengenal pasti sistem alternatif, rundingan kontrak baharu dan integrasi dengan platform sedia ada.
Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa isu tersebut melangkaui pertikaian kontrak dua hala kerana ia memberi kesan langsung kepada pertahanan dan keselamatan negara.
Katanya, mesej yang jelas perlu disampaikan kepada Norway dan komuniti pertahanan antarabangsa bahawa tindakan sedemikian tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa sebarang pertanggungjawaban.
Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja menuntut pemulangan wang yang telah dibelanjakan, malah mahukan pampasan yang mengambil kira keseluruhan kesan akibat pembatalan tersebut.
Pada masa sama, beliau menyifatkan tindakan Norway dalam episod berkenaan sebagai tidak wajar dan telah menjejaskan kepercayaan dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Semalam, media melaporkan Menteri Pertahanan Norway, Tore O. Sandvik memohon maaf kepada Malaysia berhubung keputusan kerajaannya membatalkan lesen eksport NSM.

Foto arkib: FB Khaled Nordin
Menurut Mohamed Khaled, permohonan maaf itu disampaikan oleh rakan sejawat beliau dalam pertemuan dua hala di luar sidang Dialog Shangri-La IISS ke-23, di Singapura pada Ahad.