by Oh! Semput
Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang berlangsung di Bukit Bintang sempena Sambutan Hari Pekerja Sedunia mencetuskan suasana luar biasa apabila lebih 50,000 pengunjung membanjiri lokasi sejak awal petang, termasuk pelancong dari pelbagai negara.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing, suasana yang meriah, padat dan penuh tenaga itu menjadikan kawasan bandar raya bertukar seperti ruang pesta terbuka yang hidup dengan muzik dan percikan air.
Beliau turut tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti semburan air di pentas sebelum akhirnya turut “dibalas” sehingga basah kuyup bersama pengunjung lain.
Dalam pada masa yang sama, beliau turut menyifatkan pengalaman itu sangat dekat dengan realiti festival apabila semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum bersama-sama menikmati acara berkenaan dalam suasana harmoni.
King Sing juga menegaskan keadaan festival kekal terkawal walaupun dibanjiri orang ramai dengan kerjasama semua pihak yang menjaga tertib dan keselamatan pengunjung.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan aktiviti festival tersebut dihentikan seketika ketika azan berkumandang sebelum disambung semula, sebagai tanda kepekaan terhadap kepelbagaian budaya dan agama di negara ini.

Menurutnya lagi, pengalaman tersebut selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bukan sekadar menarik pelancong, tetapi meraikan kepelbagaian serta kebersamaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, menjadikan momen itu “cukup bermakna”.
: Facebook Dato’ Seri Tiong King Sing