by Oh! Semput
Program SARA (Sumbangan Asas Rahmah) yang mula dikreditkan pada semalam terus memberi manfaat kepada jutaan penerima di seluruh negara, khususnya golongan bujang yang berdepan tekanan kos sara hidup semakin meningkat.
Tinjauan mendapati bantuan bulanan yang disalurkan melalui MyKad itu membantu penerima menampung keperluan asas harian seperti makanan dan barangan dapur, sekali gus membolehkan mereka merancang perbelanjaan dengan lebih tersusun.

Foto: Bernama
Seorang penerima, Zafry Danish Zulkiflee, 24, berkata, inisiatif SARA memberi kelegaan ketara kepadanya sebagai individu bujang yang tinggal bersendirian serta menanggung perbelanjaan sendiri.

Foto: Zafry Danish
Menurut pemuda berasal dari Kuala Lumpur itu, bantuan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan asas yang menjadi keutamaan dalam kehidupan harian.
Dia turut berpandangan tempoh penyaluran bantuan secara bulanan adalah bersesuaian dengan keperluan kewangan penerima, terutamanya dalam situasi kos sara hidup yang tidak menentu.

Foto: Janaan AI
Sementara itu, bagi Farah Nadia Muhammad Fazlie, 28, bantuan SARA memainkan peranan penting dalam meringankan beban kewangan individu bujang berpendapatan rendah, walaupun nilai bantuan yang diterima adalah terhad.
Mengulas tempoh keberkesanan bantuan, Farah berkata, nilai RM50 yang diterima bagi kategori bujang lazimnya hanya mampu bertahan sekitar dua minggu, namun tetap memberi impak besar kepada penerima.
Artikel lain: Pertikai bantuan? Mahfuz cadang MP PAS guna RM100 SARA bantu ahli & guru Pasti
Tambahnya, dari segi mekanisme penyaluran, wanita berasal dari Pulau Pinang itu menyifatkan penggunaan MyKad sebagai kaedah yang praktikal, selamat dan efisien.

Foto: Farah Nadia
Kedua-dua penerima turut berpandangan bahawa pelaksanaan SARA mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan golongan bujang tidak terpinggir, selain menunjukkan usaha berterusan untuk menambah baik sistem penyampaian bantuan kepada rakyat.
Bagi golongan bujang yang layak, program SARA akan menyediakan bantuan bulanan sehingga RM100 dengan jumlah terkumpul sehingga RM600 setahun, mengikut kelayakan masing-masing.
Program itu melibatkan lebih kurang 3.1 juta penerima di seluruh negara, terdiri daripada individu bujang berumur 21 hingga 59 tahun yang dibahagikan kepada dua kategori.