by Oh! Semput
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemajuan negara tidak boleh hanya diukur melalui penguasaan teknologi atau kepakaran teknikal semata-mata, sebaliknya mesti bertunjangkan pembinaan sahsiah dan nilai kemanusiaan yang kukuh. Dalam ucapannya di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), beliau menyuarakan kegusaran terhadap kecenderungan sistem pendidikan moden yang terlalu menumpukan kepakaran khusus sehingga mengabaikan pembinaan jiwa dan kefahaman sejarah.
Beliau merujuk gagasan pemikir Sepanyol, José Ortega y Gasset, yang pernah memperingatkan tentang fenomena “barbarism of specialization”, iaitu keadaan apabila manusia menjadi sangat mahir dalam bidang tertentu namun tandus dari segi nilai, kemanusiaan dan kesedaran sosial. Menurut Anwar, gejala ini harus dielakkan kerana ia berpotensi melahirkan generasi yang pintar tetapi hilang arah dan tidak memahami tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.
Anwar menekankan bahawa universiti harus berperanan sebagai pusat ilmu yang merentas sempadan disiplin, menyatukan sains dengan falsafah serta teknologi dengan kemanusiaan. Institusi pendidikan, katanya, tidak boleh menjadi kilang tenaga kerja semata-mata, tetapi perlu menjadi gelanggang yang menyuburkan wacana sihat, pemikiran kritikal dan pembinaan nurani.
Beliau juga percaya golongan muda di Malaysia mempunyai kekuatan untuk menolak idea yang membawa perpecahan atau pertelingkahan. Kepimpinan masa depan, tegasnya, tidak harus berasaskan kebencian atau keangkuhan intelektual, sebaliknya dibina di atas nilai ihsan, integriti dan tanggungjawab terhadap negara.
Mengulas cabaran era kecerdasan buatan (AI), Anwar mengingatkan bahawa teknologi tidak boleh dibiarkan menguasai manusia sehingga mereka terpisah daripada nilai kemanusiaan sendiri. Dalam mengejar inovasi, katanya, rakyat perlu “mengakar ke bumi sambil menggapi ke langit”, memastikan kemajuan tidak mengorbankan jati diri bangsa.
Itulah antara inti pati pesanan beliau kepada warga TAR UMT dalam usaha membina Malaysia yang madani, beradab dan berpaksikan ilmu yang seimbang.
Anwar Tegaskan Pendidikan Mesti Seimbang Antara Ilmu, Adab dan Kemanusiaan #1 The News Malaysia.