by Oh! Semput
Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenakan hukuman maksimum terhadap Prasarana Malaysia Berhad susulan insiden tren LRT tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi tadi.
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai dalam menjalankan tanggungjawab.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan dan kebolehpercayaan sistem rel di bawah kendalian Prasarana.

Dalam masa sama, Anthony turut memaklumkan bahawa MOT telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat punca kejadian secara menyeluruh dan laporan siasatan perlu dibentangkan kepada Jemaah Menteri serta diumumkan kepada orang ramai secepat mungkin.
Beliau berkata, walaupun semua penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, insiden tersebut tetap membawa risiko keselamatan yang tinggi kepada pengguna dan petugas.

Terdahulu, Rapid KL mengesahkan sebuah tren laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin sehingga menyebabkan gangguan jadual perjalanan.
Insiden tersebut turut tular di media sosial menerusi beberapa video dan gambar yang dikongsikan orang ramai.
: Malaysia Gazette (Shawaliah Hadir)