Aktivis Misi Bantuan Gaza Cedera, Tolak Rawatan Di Hospital Israel

by Oh! Semput


5
SHARES
64
VIEWS
Posted on 21 May 2026 08:02:02

Seorang aktivis misi bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza dilaporkan cedera di bahagian kaki selepas terkena peluru getah yang dilepaskan tentera Israel ketika operasi memintas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa.

Aktivis terbabit, Majid Baghchivan, merupakan antara peserta yang ditahan ketika konvoi bantuan tersebut cuba meneruskan pelayaran ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

Menurut penganjur misi, Majid dibawa ke sebuah pusat rawatan di Ashdod, selatan Israel selepas mengalami kecederaan, namun beliau dilaporkan enggan menerima rawatan di hospital Israel sebagai tanda bantahan terhadap tindakan tentera Zionis itu.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian selepas beberapa rakaman video dimuat naik pemimpin Israel yang memaparkan keadaan aktivis flotila selepas mereka tiba di pelabuhan.

Menteri Pengangkutan Israel, Miri Regev dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila melabel para aktivis sebagai “penyokong pengganas” selain membuat dakwaan menghina terhadap mereka.

Menurut penganjur, tentera Israel menyerang keseluruhan 50 kapal yang membawa seramai 428 peserta dari 44 negara termasuk 78 rakyat Turkiye ketika berada di perairan antarabangsa pada Isnin lalu.

Konvoi bantuan itu berlepas dari daerah Marmaris di Turkiye sebagai usaha terbaru masyarakat antarabangsa untuk mencabar sekatan Israel ke atas Gaza yang dilaksanakan sejak tahun 2007.

Global Sumud Flotilla diwujudkan bagi menghantar bantuan kemanusiaan serta menarik perhatian dunia terhadap krisis yang dihadapi lebih dua juta penduduk Gaza akibat sekatan berpanjangan.

Ini bukan kali pertama flotila bantuan kemanusiaan berdepan tindakan agresif tentera Israel apabila pada April lalu, sebuah lagi kapal misi dilaporkan diserang berhampiran Pulau Crete, Greece.

Tindakan Israel menghalang dan memintas konvoi bantuan ke Gaza terus menerima kecaman pelbagai pihak antarabangsa termasuk organisasi hak asasi manusia yang menganggap ia melanggar prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

Aktivis Misi Bantuan Gaza Cedera, Tolak Rawatan Di Hospital Israel first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts