by Oh! Semput
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh tampil mempersoalkan keputusan kerajaan menurunkan had siling BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, meskipun langkah itu dikatakan tidak menjejaskan 90% rakyat.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, beliau menyifatkan keputusan tersebut perlu dilihat secara lebih menyeluruh kerana angka peratusan tidak menggambarkan realiti sebenar kehidupan rakyat yang terkesan.
Menurutnya, golongan 10% yang dimaksudkan bukanlah kelompok berada, sebaliknya terdiri daripada rakyat biasa yang berdepan kekangan hidup termasuk mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja dan perlu berulang-alik setiap hari.

Beliau menegaskan isu tersebut bukan sekadar perbandingan majoriti dan minoriti, sebaliknya melibatkan soal keadilan kepada golongan yang paling terkesan.
Dalam masa sama, Akmal mengingatkan kerajaan agar lebih peka terhadap keadaan semasa memandangkan tekanan kos sara hidup semakin meningkat.
Beliau turut mencadangkan agar lebihan keuntungan daripada sektor minyak dapat dimanfaatkan semula untuk membantu rakyat, khususnya golongan yang terkesan.
Akmal bagaimanapun menegaskan beliau tidak berniat mempolitikkan isu tersebut, sebaliknya mahu memastikan suara golongan yang terhimpit terus diberi perhatian.

Sebelum ini, Anwar telah mengumumkan penyelarasan harga minyak termasuk subsidi RON95 dimana had siling diturunkan kepada 200 liter.
Perkara ini susulan konflik yang berlaku di Asia Barat dan langkah tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memastikan bekalan minyak berterusan dalam tempoh yang agak panjang.
: Facebook Akmal Saleh